Sunday, 10 July 2011

Peludah Warna

KUASA gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diistihar racun terbisa.
Diragutnya baju - T seragam tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulin.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam kalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa
kuasa pun seolah menjadi hartanya.


Nukilan:

A.SAMAD SAID
Sasterawan Negara.

No comments:

Post a Comment